nick name


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Jumat, 18 Maret 2011

Mencari Kesempurnaan Makhluk





Mencari Kesempurnaan Makhluk

“Jika kau berusaha mencari kesempurnaan yang ada pada makhluk, pasti semakin banyak kekurangannya yang akan kau temui”

Tidak ada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah. Kekurangan adalah sifat makhluk. Kitalah makhluk. Maka kita perlu menerima bahawa kita banyak kekurangan. Tak mampu kita menjadi sempurna untuk orang lain dan kita juga tak boleh mengharap kesempurnaan orang lain. Jika kita merasakan bahwa kita sudah sempurna, selamanya kita takkan pernah memperbaiki kekurangan sendiri atau menerima kekurangan orang lain. Rasulullah adalah makhluk terbaik yang Allah ciptakan. Namun, baginda sendiri tidak pernah merendahkan orang lain dan takabbur dengan kehebatan yang dianugerahkan Allah.

Ya, sekali pandang kita rasa bahawa kita yang terbaik. Apabila kita mengubah sudut pandang, akan ternampaklah lompang-lompang yang terdapat pada diri kita. Cahaya lampu nampak hebat tatkala ia menerangi kegelapan malam, namun menjadi tak bernilai ketika mentari mula menerangi. Di malam hari ia diperlukan, di siang hari ia tak bermakna lagi. Itulah sifat ciptaan. Seorang ahli agama boleh berbicara tentang ilmu keagamaan sehinggakan orang akan terpegun mendengarnya. Namun kehebatannya tak sama apabila dia berbicara tentang bidang-bidang lain yang bukan kepakarannya.

Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita dan terimalah kekurangan orang lain. Berfikirlah untuk menampung kekurangan-kekurangan tersebut, bukan menidakkannya. Dalam mencari teman hidup, begitu juga keadaannya. Jangan kita terlalu mengharapkan teman yang sempurna sedangkan kita sendiri banyak lompangnya. Sebelum berumahtangga, kekurangannya kita buat-buat tak nampak. Yang nampak hanya kecantikannya. Namun, segalanya berubah setelah berumahtangga. Kita mula merungut akan kekurangan-kekurangannya. Itulah akibat apabila kita mengidamkan kesempurnaan pada makhluk.

Ada sebuah kisah perumpamaan. Seorang guru memberi arahan mudah kepada muridnya, ketika mereka sedang melalui sebuah lorong yang di kiri dan kanannya ada bunga-bunga indah. “Sepanjang perjalanan kita ini, petiklah sekuntum bunga yang paling cantik dan memuaskan bagimu. Apabila kita sampai di hujung nanti, kita tak boleh berpatah balik”. Maka merekapun berjalan menyusuri lorong tersebut. Murid tersebut ternampak sekuntum bunga yang indah dan cantik, namun hatinya berbisik, “di depan pasti ada yang lagi cantik”. Lalu mereka terus berlalu. Beberapa bunga yang dilihatnya, tetap juga tidak dipetik. “Ada kurang sikit lah pada bunga ni”. Berjalan dan terus berjalan, akhirnya tak satupun bunga dipetiknya ketika sampai di hujung lorong sedangkan dia tak dapat berpatah balik. Gurunya lantas berpesan, “Itulah ibaratnya jika mencari kesempurnaan pada makhluk”.

Mengakui kekurangan adalah langkah awal untuk memperbaikinya. Kita harus jujur dalam meneliti kekurangan-kekurangan yang ada pada diri. Orang yang hebat bukannya tak punya kekurangan, tetapi mereka cepat sedar akan kekurangan-kekurangan tersebut dan berusaha memperbaikinya. Semakin banyak kekurangan, semakin banyak usaha memperbaiki. Maka merekapun menjadi semakin baik daripada sehari ke sehari. Begitulah sifirnya.

Orang yang mencari kesempurnaan makhluk pasti akan selalu mengeluh, kerana kekurangan-kekurangan yang akan dia dapatkan. Mana tidaknya, kita mengharapkan sesuatu yang mustahil. Tentulah kita takkan berjumpa dan lebih banyak mengeluh. Sebaliknya, orang yang mengakui kekurangan makhluk akan sentiasa bersangka baik dan tidak merendahkan orang lain. Dia juga sedar bahawa dirinya sendiri banyak kekurangan. Apabila kita melihat perbezaan ini, sedarlah kita bahaya mencari kesempurnaan makhluk.

Berusahalah menjadi lebih baik setakat batas kemampuan manusia. Insya-Allah, hati akan lebih tenang dan redha

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Pages